Penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza memberitahu kaki kirinya sehingga kini masih terasa sakit lagi akibat terjatuh di bilik air ketika di luar negara baru-baru ini.  
"Masa tu saya nak pergi makan malam, berkasut tumit tinggi.  Sebelum tu masuk bilik air dulu, tak perasan pulak lantai licin.  Terjatuh la.  Sakit.  
"Tapi nasib baik tak sampai tahap seliuh cuma bengkak dan lebam sahaja. Tak pergi klinik pun, sapu dengan minyak sahaja.  Mak-mak kan mesti ada minyak-minyak ni.  
"Tapi walaupun sakit penggambaran dan shopping mesti jalan jugak," ujar Siti sambil ketawa.  

Itu antara pengalaman Siti ketika bercuti selama 20 hari di tiga buah negara iaitu Portugal, Sepanyol dan UAE bersama 28 orang ahli keluarganya dan kru CTDKtion.
Program realiti ini akan disiarkan di Astro pada Januari tahun hadapan.
Siti ditemui di majlis sambutan ulang tahun pertama Yonder Music Malaysia di St. Regis Kuala Lumpur malam tadi.  Dalam majlis tersebut, Siti turut menghiburkan tetamu dengan lima buah lagu.  
"Terima kasih kepada Yonder Music yang turut memberi peluang yang luas kepada saya dan kerjasama terbaik selama ini termasuk konsert 'Dato Siti Nurhaliza & Friends' di Stadium Negara," ujarnya.  
Pada malam itu juga, Siti menerima plak eksklusif iaitu 'Hear Forever' sebagai penghargaan menjadi duta dan banyak menyokong Yonder Music.